Perkara Sunat & Makruh Bagi Orang Berpuasa

PERKARA YANG DISUNATKAN BAGI ORANG BERPUASA

1. Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman pada waktu akhir malam. Tujuannya ialah supaya menambahkan kekuatan berpuasa.

2. Menyegerakan berbuka setelah yakin matahari telah terbenam.

3. Berdoa sewaktu berbuka dan maksud doa : “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka, dahaga hilang dan urat-urat telah menyedut makanan, mudah-mudahan Allah menetapkan ganjaran-Nya”

4. Berbuka dengan buah korma atau sesuatu yang manis atau dengan air.

5. Memberi makanan atau minuman kepada orang untuk berbuka puasa.

6. Memperbanyakkan amalan kebajikan seperti bersedekah dan sebagainya terhadap kaum kerabat yang lemah dan fakir miskin.

7. Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sama ada pada waktu malam atau siang. Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan diberi pahala yang berlipat ganda.

8. Menjauhkan diri daripada percakapan-percakapan yang tidak berguna dan buruk seperti mengumpat, mencela dan sebagainya. Memang telah dimaklumi bahawa perkara-perkara itu dilarang, tetapi perkara-perkara seperti itu jika dilakukan pada bulan yang mulia ini dosanya lebih besar.

9. Menyucikan diri (mandi junub) bagi orang yang berhadas besar sebelum naik fajar.

PERKARA YANG MAKRUH BAGI ORANG BERPUASA

1. Berbekam atau mengeluarkan darah penyakit melalui kulit kepala.
2. Memamah sesuatu yang tidak boleh hancur.
3. Menyedut air yang berlebihan ketika berwuduk.
4. Mengucup isteri.
5. Masih dalam keadaan berjunub semasa sudah masuk waktu subuh.
6. Memberus gigi atau berkumur-kumur selepas tergelincir matahari.

BEBERAPA MASALAH MENGENAI PUASA

Melewatkan Qada Puasa

Orang yang melewatkan qada puasanya sehingga sampai puasa berikutnya, sedang ia mampu untuk berbuat demikian, ia wajib mengqadakannya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan fakir miskin dengan kadar satu hari secupak beras atau yang sama dengannya.

Junub Sampai Pagi Hari Puasa

Ada orang menyangka bahawa berkeadaan junub sampai terbit fajar hari puasa membatalkan puasa. Sebenarnya sangkaan tersebut tidak benar. Tetapi sebaik-baiknya (sunat) orang yang berjunub segera mandi sebelum terbit fajar, kerana dikhuatiri terjadi hal yang membatalkan puasa.

Menggantikan Puasa Orang Lain

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sebab uzur, kemudian ia meninggal dunia sebelum sempat mengqadanya, umpamanya uzur yang terus menerus sampai mati, ia tidak berdosa. Puasa yang ditinggalkan itu tidak wajib diqada dan tidak pula wajib fidyah. Sekiranya ia meninggal dunia sesudah ada kemungkinan untuk mengqada, tetapi tidak dilakukannya, keluarganya wajib mengqada puasa yang ditinggalkan itu. Hal ini berdasarkan hadis dari Aisyah r.a. yang bermaksud..

“Rasulullah s.a.w. bersabda ; Sesiapa yang mati dan meninggalkan kewajipan puasanya, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Makan Kerana Lupa Atau Dipaksa

Orang yang termakan pada siang hari puasa atau menyangka belum naik fajar atau menyangka matahari telah terbenam, puasanya tetap sah dengan syarat ia hendaklah terus berhenti dan meluahkannya sebaik sahaja ia sedar. Demikian juga orang yang dipaksa makan.

Mimpi Berjimak Dan Keluar Mani

Orang yang bermimpi berjimak semasa ia tidur di siang hari, tidak batal puasanya. Demikian juga jika air maninya keluar kerana mengkhayalkan persetubuhan, tidak batal juga puasanya.

Mandi Atau Menyelam Kerana Panas

Orang yang mandi atau menyelam kerana kesangatan panas, tidak merosakkan puasanya.

Merasa Makanan

Merasa makanan dengan lidah dan tidak ditelan tidak membatalkan puasa.

DENDA-DENDA BAGI ORANG YANG TIDAK PUASA


Terdapat empat jenis denda yang dikenakan kepada orang-orang yang tidak berpuasa Ramadhan.

1. Kifarat berserta qada
2. Fidyah berserta qada
3. Fidyah
4.Qada

Kifarah Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada orang lelaki yang membatalkan puasanya melalui persetubuhan. Persetubuhan yang dimaksudkan ialah dengan memasukkan kemaluannya melepasi had tertentu (hasyafah) ke dalam faraj (qubul atau dubur) sama ada manusia atau haiwan, yang masih hidup atau telah mati, lelaki atau perempuan sekalipun tidak keluar mani. Walaubagaimanapun, persetubuhan orang-orang yang berpuasa seperti berikut hanya diwajibkan qada tanpa kifarat, iaitu :

1. Orang yang bersetubuh dengan memasukkan kemaluan ke dalam faraj sekadar belum sampai had yang ditentukan.
2. Orang yang disetubuhi.
3. Orang yang bersetubuh dalam keadaan lupa atau tidak sedar.
4. Orang yang tidak tahu batalnya puasa dengan kelakuan tersebut.
5. Kanak-kanak yang belum baligh.
6. Orang-orang yang berpuasa tanpa niat.
7. Orang-orang dalam musafir.
8. Orang sakit, dengan harapan persetubuhan itu akan menyembuhkan sakitnya.
9. Orang yang yakin ketika persetubuhannya itu masih malam hari, atau yakin masuk waktu malam sedangkan sebenarnya masih siang.
10. Orang yang berpuasa selain dari puasa Ramadhan seperti puasa nazar, puasa kifarat dan puasa qada sekalipun qada bagi puasa Ramadhan.

Kifarah puasa ada tiga peringkat. Pertamanya ialah memerdekakan seorang hamba yang beragama Islam, sempurna sifat dan tubuh badannya. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya terputus walaupun sehari, hendaklah diulangi puasanya semula. Jika tidak berupaya juga, hendaklah memberi makan fakir miskin seramai 60 orang dengan kadar secupak seorang. Kifarat puasa wajib ditunaikan, tetapi kewajipan tersebut terhapus sekiranya seseorang itu gila atau mati.

Fidyah Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada tiga golongan, iaitu orang yang melengah-lengaahkan qada puasa wajib tanpa apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan orang-orang perempuan hamil atau sedang menyusukan anak yang bimbang tentang keselamatan bayi atau anaknya sekiranya ia berpuasa. Kadar fidyah ialah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Di samping fidyah itu, puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.

Fidyah

Fidyah dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa-puasa wajib seperti puasa Ramadhan (seperti yang telah diterangkan) atau puasa nazar, puasa kifarat orang yang mati tanpa sebarang sakit atau uzur sebelum sempat mengqadakannya. Bagi orang yang telah mati itu menjadi kewajipan kepada keluarganya terutama walinya untuk membayar fidyah bagi simati sebanyak satu cupak makanan bagi tiap-tiap satu hari puasa yang ditinggalkan.

Qada

Qada ialah mengulangi berpuasa kerana menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan oleh sebab-sebab tertentu. Puasa qada boleh ditunaikan oleh orang lain dengan syarat orang yang berkenaan telah meninggal dunia dan tidak sempat mengqadakan puasanya sedang dia berkemungkinan mengqadakannya. Oleh yang demikian hendaklah diqadakan oleh keluarganya.

0 Response to "Perkara Sunat & Makruh Bagi Orang Berpuasa"

Post a Comment