Hikmah Puasa

1. Melahirkan kesyukuran terhadap Allah. Semua ibadat yang difardhukan mempunyai erti terima kasih kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. telah melimpahkan berbagai nikmat yang tidak terbatas banyaknya kepada manusia. Sebagai tanda terima kasih itulah maka manusia, khususnya yang beragama Islam sewajibnya melaksanakan kefardhuan-kefardhuan yang telah ditentukan.

2. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi penyabar, tabah menanggung kesusahan dan penderitaan. Di dalam kehidupan manusia didunia ini, kesusahan dan penderitaan adalah perkara lumrah yang lazimnya ditempuhi oleh setiap orang. Orang-orang yang memiliki sifat sabar akan mudah menguruskan soal-soal kehidupannya dengan matang dan teratur. Selain mendapat faedah untuk diri sendiri, orang-orang yang memiliki sifat sabar akan dikasihi Allah.

3. Puasa juga dapat melatih seseorang itu mengawal nafsu buas dan ammarah yang suka melakukan kejahatan. Melalui puasa seseorang itu dapat membentuk personalitinya menjadi seorang yang baik dan dihormati.

4. Puasa dapat menghindar seseorang itu daripada bersikap tamak, gelojoh dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat tersebut amat dikeji dan membawa kepada kerugian dan keburukan.

5. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi seorang yang amanah di dalam amal kehidupannya sehari-hari. Ini berlaku kerana seseorang yang berpuasa akan patuh kepada peraturan-peraturan puasa yang telah ditetapkan seperti menahan makan, minum dan lain-lain. Ia tidak akan melakukan semua itu sama ada di hadapan orang atau secara sembunyi. Latihan sebegini sudah tentu membentuknya menjadi seorang yang amanah.

6. Puasa dapat menanam rasa belas kesihan terhadap seseorang yang dalam kesusahan atau kemiskinan. Seseorang yang telah merasa sakit dan pedih kerana berlapar, akan dapat mengukur kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang fakir dan miskin. Oleh itu orang-orang fakir dan miskin, yang hidup melarat akan sentiasa ditolong bantu oleh orang yang berada. Kesedaran dan keadaan ini akan melahirkan keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.

7. Puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan. Ahli-ahli perubatan pada keseluruhannya telah mengakui bahawa puasa memberi kesan yang baik terhadap sesetengah penyakit. Para doktor juga berpendapat bahawa setiap manusia perlu sekali sekala berpuasa sekalipun ia tidak berpenyakit.

8. Puasa dapat mengujudkan perpaduan di kalangan umat. Apabila tibanya bulan Ramadhan, setiap umat Islam menyedari bahawa semua umat Islam di dunia ini akan berpuasa. Umat Islam diseluruh pelusuk dunia ini mengamalkan ibadat yang serupa sepertinya juga. Keadaan in sudah tentu mencetuskan dihati sanubarinya dengan rasa kesatuan dan kesamaan. Dengan ini terjalinlah rasa muhibah, kasih sayang, persaudaraan dan ingin tolong menolong antara satu dengan lain.

9. Sebagai kemuncaknya, puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi muslim mukmin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kemuncak ini akan dapat dicapai apabila seseorang itu benar-benar tekun dan ikhlas menjalani ibadat puasa ini tanpa ada tujuan yang lain selain semata-mata kerana Allah s.w.t.

0 Response to "Hikmah Puasa"

Post a Comment